“Bagaimana kamu kufur (ingkar) dengan Allah dan adalah kamu
itu mati maka kamu dihidupkan, kemudian kamu dimatikan kemudian kamu dihidupkan
kemudian kepada-Nya kamu dikembalikan” (Surah Al-Baqarah : Ayat 28)
Adapun tanda-tanda kematian mengikut ulamak adalah benar dan
ujud cuma amalan dan ketakwaan kita sahaja yang akan dapat membezakan kepekaan
kita kepada tanda-tanda ini.
Rasulallah SAW diriwayatkan masih mampu memperlihat dan
menceritakan kepada keluarga dan sahabat secara lansung akan kesukaran
menghadapi sakaratulmaut dari awal hinggalah akhirnya hayat Baginda.
Imam Ghazali rahimahullah diriwayatkan memperolehi
tanda-tanda ini sehinggakan beliau mampu menyediakan dirinya untuk menghadapi
sakaratulmaut secara sendirian. Beliau menyediakan dirinya dengan segala
persiapan termasuk mandinya, wuduknya serta kafannya sekali cuma ketika sampai
bahagian tubuh dan kepala sahaja beliau telah memanggil abangnya iaitu Imam
Ahmad Ibnu Hambal untuk menyambung tugas tersebut. Beliau wafat ketika Imam
Ahmad bersedia untuk mengkafankan bahagian mukanya.
Adapun riwayat-riwayat ini memperlihatkan kepada kita
sesungguhnya Allah s.w.t. tidak pernah berlaku zalim kepada hambanya.
Tanda-tanda yang diberikan adalah untuk menjadikan kita umat Islam supaya dapat
bertaubat dan bersedia dalam perjalanan menghadap Allah s.w.t.
Walaubagaimanapun semua tanda-tanda ini akan berlaku kepada orang-orang Islam
sahaja manakala orang-orang kafir iaitu orang yang menyekutukan Allah nyawa
mereka ini akan terus di rentap tanpa sebarang peringatan sesuai dengan
kekufuran mereka kepada Allah s.w.t.
Adapun tanda-tanda ini terbahagi kepada beberapa keadaan:
Tanda 100 hari
sebelum hari mati.
Ini adalah tanda pertama dari Allah s.w.t. kepada hambanya
dan hanya akan disedari oleh mereka-mereka yang dikehendakinya.
Walaubagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka
sedar atau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar.
Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami
getaran atau seakan-akan mengigil.
Contohnya seperti daging lembu yang baru disembelih dimana
jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan
bergetar. Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka sedar dan berdetik di hati
bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang
setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini.
Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang
hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian, tanda ini akan lenyap
begitu sahaja tanpa sebarang munafaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda
ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memunafaatkan masa yang ada untuk
mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan
sesudah mati.
Tanda 40 hari sebelum
hari mati
Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian
pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita
akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah s.w.t. Maka
malaikatmaut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke
atas kita antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa.
Akan terjadi malaikatmaut ini akan memperlihatkan wajahnya
sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan
seakan-akan bingung seketika. Adapun malaikatmaut ini wujudnya cuma seorang
tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang
akan dicabutnya.
Tanda 7 hari
Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang
diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara
tiba-tiba ianya berselera untuk makan.
Tanda 3 hari
Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi
kita iaitu diantara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka
berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis
dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti.
Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan
bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan
jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian
hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur
akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.
Tanda 1 hari
Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan
satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini
menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.
Tanda Akhir
Akan
berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian
pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian
halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam
diri dan menantikan kedatangan malaikatmaut untuk menjemput kita kembali kepada
Allah s.w.t. yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.
Seelok-eloknya bila sudah merasa tanda yang akhir sekali, mengucap dalam
keadaan qiam and jangan lagi bercakap-cakap.
Sesungguhnya
marilah kita bertaqwa dan berdoa kepada Allah s.w.t. semoga kita adalah di
antara orang-orang yang yang dipilih oleh Allah yang akan diberi kesedaran
untuk peka terhadap tanda-tanda mati ini semoga kita dapat membuat persiapan
terakhir dalam usaha memohon keampunan samada dari Allah s.w.t. mahupun dari
manusia sendiri dari segala dosa dan urusan hutang piutang kita.
Walaubagaimanapun
sesuai dengan sifat Allah s.w.t. yang Maha Berkuasa lagi Maha Pemurah lagi maha
mengasihani maka diriwatkan bahawa tarikh mati seseorang manusia itu masih
boleh diubah dengan amalan doa iaitu samada doa dari kita sendiri ataupun doa
dari orang lain. Namun ianya adalah ketentuan Allah s.w.t. semata-mata.
Oleh
itu marilah kita bersama-sama berusaha dan berdoa semoga kita diberi hidayah
dan petunjuk oleh Allah s.w.t. serta kelapangan masa dan kesihatan tubuh badan
dan juga fikiran dalam usaha kita untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. samada
di dunia mahupun akhirat. Apa yang baik dan benar itu datangnya dari Allah
s.w.t. dan apa yang salah dan silap itu adalah dari kelemahan manusia itu sendiri.